Kes Pengganas LTTE: Datuk Ayob Khan kecewa kes tersebut diganggu ahli politik DAP

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan meminta ‘orang politik’ tidak mengganggu urusan dan kerja-kerja kepolisan.Menurutnya, pegawai dan anggota polis adalah petugas awam yang fungsi serta peranan mereka adalah menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, dalam tindakan beliau dan pegawainya dalam menguatkuasakan sesuatu undang-undang itu, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju.

Ujar Ayob, sewaktu beliau bertugas di Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dan menangkap beratus-ratus orang anggota Jemaah Islamiah (JI) dulu termasuk pengikut Darul Islam dan Daesh, tidak ada pun yang ‘merungut’.

“Tetapi kenapa bila saya tangkap ADUN DAP dalam kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ia boleh menjadi isu sampai peringkat nak pinda undang-undang sebagainya, ini apa cerita?

“Adakah sebab mereka DAP saya tak boleh ‘sentuh’? Adakah mereka di atas undang-undang? Jadi kena adillah dan jangan campur tangan dalam kerja-kerja polis.

“Kami hanya petugas awam yang akan pencen bila umur mencecah 60 tahun…kami tidak ‘bias’ dan berpihak, kalau sesuatu perkara itu salah dari segi undang-undang, maka salahlah,” kata Ayob.

Beliau berkata demikian dalam temuramah khas dengan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru baru-baru ini. Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran sebelum ini pernah dituduh memberi sokongan kepada LLTE.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan beliau selepas mendapat arahan daripada Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding.

Gunasekaran, 60, sebelum ini dituduh bersama-sama ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; pengusaha restoran, B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28.

Pada 31 Oktober lalu, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Jabatan Peguam Negara juga sebelum ini membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan LTTE.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang. – Malaysia Gazette

Kredit; mykmu.net

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*